TAHUKAH anda apa itu among-among? Seorang wanita berketurunan Jawa pernah melontarkan soalan tersebut ketika penulis menghubunginya untuk bertanya tentang budaya masyarakat Jawa membuatkan penulis terdiam seketika memikirkan maksud di sebalik perkataan itu. Adakah ia sejenis makanan atau haiwan?
Jika perkataan among-among agak asing pada penulis, pastinya ia juga jarang didengari oleh mereka yang bukan berketurunan Jawa. Apatah lagi, di kalangan masyarakat Jawa di Malaysia sendiri ada yang tidak mengetahui apa itu among-among. Jika ada pun hanya sekadar pernah mendengar perkataan tersebut.
Naluri untuk mengetahui lebih lanjut mengenai among-among menemukan penulis dengan beberapa lelaki berketurunan Jawa melalui satu pertemuan yang diaturkan Riverstone, Ulu Yam baru-baru ini.
“Among-among merupakan satu tradisi masyarakat Jawa meraikan bayi selepas 36 hari dilahirkan. Ia akan diadakan setiap tahun sehinggalah bayi itu pandai bercakap, biasanya pada umur empat tahun.
“Sebelum among-among ini dijalankan ada beberapa tradisi lain yang perlu dilakukan sebaik sahaja seseorang bayi itu lahir. Hari pertama hingga ketujuh bayi dilahirkan, ramai jiran-jiran dan saudara-mara datang menziarah keluarga bayi. Kunjungan tradisi ini dipanggil muyi, biasanya kaum ibu datang pada waktu siang manakala kaum bapa pada waktu malam,” kata Zahrul Nizam Mahfuz, 43, yang lebih mesra disapa Kang Nizam. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mutiara i-Tech.
Selepas muyi, ia diikuti dengan puputan atau kenduri cukur jambul. Pada masa ini para tetamu diraikan dengan jamuan nasi ambang atau disebut ambeng. Juadah nasi itu dimakan bersama ayam masak kicap, mi goreng, sambal goreng, sayur dan serunding kelapa. Kemudian barulah tradisi among-among bermula selepas tempoh berpantang tamat.
Among-among diadakan setiap tahun sejak bayi dilahirkan hinggalah bayi tersebut fasih bercakap tetapi kebanyakan masyarakat Jawa Malaysia menyambutnya pada hari lahir seseorang bayi tersebut.
“Among-among sebenarnya untuk meraikan kanak-kanak sama seperti sambutan hari lahir. Memadai menjemput jiran tetangga dan saudara-mara terdekat yang akan dijamu dengan nasi keluban yang dihidangkan di dalam dulang,” kata anak Jawa kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu.
Urap
Kanak-kanak yang hadir akan makan beramai-ramai di dalam satu dulang berlaukkan urap. Urap adalah campuran sayuran seperti pucuk ubi, tauge, kacang panjang ala kerabu kelapa yang diletakkan di atas nasi dan di kelilingnya pula diletakkan telur, ikan bilis, ikan kembung goreng atau ayam mengikut kemampuan sesebuah keluarga,” kata Kang Nizam yang merupakan Naib Presiden I Persatuan Anak Jawa Malaysia (Ajmal).
Selain nasi keluban tetamu cilik juga dijamu dengan bubur abang dan jajan pasar. Bubur abang merupakan tradisi wajib kerana ia melambangkan kesyukuran.
Ia dipanggil abang kerana warnanya merah. Abang dalam bahasa Jawa ialah merah. Bubur tersebut diperbuat daripada beras yang direbus sehingga lembut kemudian ditambah santan, garam dan daun pandan, manakala jajan pasar pula ialah hidangan makanan ringan tujuh warna atau jenis yang berlainan.
Menurut Kang Nizam, among-among semakin jarang diamalkan dalam kehidupan masyarakat Jawa di Malaysia mengikut tradisi yang sepatutnya. Bagaimanapun, ia masih diamalkan di sesetengah tempat seperti di Teluk Intan, Perak, Sabak Bernam di Selangor dan Johor.
Turut sependapat dengannya ialah Pengarah Urusan Etika Sihat Sdn. Bhd., Ashaari Sidek, 54. Ashaari memberitahu, tradisi masyarakat Jawa Malaysia seperti muyi dan among-among menunjukkan kesuramannya sejak pertengahan tahun 70-an.
“Saya masih ingat kerana pada masa itu kami adalah golongan yang diraikan. Orang lama tahulah mengenai tradisi ini. Kini, ramai yang tidak melakukannya kerana tidak tahu bagaimana kerana ia tidak diwarisi dengan baik.
“Kebiasaannya dalam sebuah keluarga ada orang lama yang menjadi pakar rujuk, apabila mereka tiada, tradisi seperti muyi, among-among, balalan dan baraan semakin dilupakan,” katanya ketika meraikan among-among Muhammad Harith Fahmi Mohd. Fidzhar berusia enam bulan di Riverstone Eco Resort yang terletak di Hutan Lipur Sungai Tua, Jalan Sungai Tua, Batu Caves baru-baru ini.
Balalan atau dengan nama lainnya jaluk ngapuro iaitu tradisi bermaaf-maafan ketika Hari Raya Aidilfitri turut menerima nasib yang sama kerana ia jarang sekali dipraktikkan.
“Balalan ini hanya dilakukan ketika hari raya sahaja. Ia merupakan upacara meminta maaf di antara orang muda dan orang tua.
“Ia dilakukan secara duduk berdepan sambil kepala kedua-dua pelaku merapati satu sama lain secara sisi sambil bersalam dan meminta maaf daripada sekecil-kecil kesalahan hinggalah kesalahan yang besar. Upacara ini paling lama boleh mencecah selama 15 minit,” katanya.
Tambahnya apa yang diucapkan lebih kepada berbisik dan melibatkan penggunaan bahasa Jawa halus.
Dalam pada itu, seorang anak muda berdarah Jawa, Abdul Raouf Mohd. Dahlan, 31, memberitahu dirinya cukup bertuah kerana keluarganya masih mengamalkan tradisi masyarakat Jawa seperti puputan, among-among dan balalan walaupun juadah seperti nasi ambang dan nasi keluban tidak disediakan kerana kekangan masa.
“Sebagai seorang Jawa, saya berbangga dengan tradisi turun-temurun yang masih diamalkan dan menjadi identiti kami.
“Bagaimanapun, saya sedikit terkilan kerana banyak tradisi Jawa sudah dilupakan. Bagi saya tradisi adalah identiti kepada sesuatu bangsa,” katanya yang merupakan seorang guru.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/
Ingin Cari Kaos Dakwah Terbaik, Disini tempatnya:
ReplyDeleteTshirt Dakwah Online
Mau Cari Bacaan Cinta Generasi Milenia Indonesia mengasikkan, disini tempatnya:
Buktikan Cintamu dengan Menikah