Pages

Penempatan Masyarat Jawa Ke Tanah Melayu


KEBANYAKAN imigran Jawa yang datang ke Tanah Melayu berasal dari beberapa buah daerah di Pulau Jawa seperti di Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur. Selain itu, terdapat juga masyarakat Jawa yang datang dari Pulau Madura yang terletak di bahagian utara Jawa Timur. Sejarah mengatakan bahawa imigran Jawa berhijrah ke beberapa pulau lain sebelum datang ke Tanah Melayu. Antara pulau yang menjadi kawasan petempatan mereka ialah Singapura, Palembang dan Lampung di Sumatera dan Pontianak di Kalimantan Borneo. Umumnya di Malaysia, terdiri daripada satu hingga dua juta bilangan masyarakat Jawa yang boleh didapati di beberapa buah negeri sahaja. Negeri Johor dan Selangor adalah dua buah petempatan yang sangat popular bagi masyarakat Jawa. 

Namun begitu, terdapat juga beberapa buah negeri yang mempunyai komposisi masyarakat Jawa seperti Perak, Melaka dan Negeri Sembilan. Petempatan masyarakat Jawa di Malaysia banyak tertumpu di kawasan Pantai Barat. Walaupun masyarakat Jawa mempunyai banyak persamaan dengan masyarakat Melayu namun masih terdapat perbezaan yang menunjukkan betapa uniknya masyarakat Jawa yang dipayungi kepulauan Melayu ini sama ada dari segi bahasa mahupun corak kehidupan. Walaupun begitu, masyarakat Jawa telah mengalami proses asimilasi sehingga telah beransur-ansur diserap ke dalam masyarakat Melayu. Dalam erti kata lain, masyarakat Jawa telah dimelayukan. Proses asimilasi ini boleh dilihat apabila banyak perkahwinan ataupun percampuran generasi baru masyarakat Jawa dengan masyarakat Melayu amnya. Pada dasarnya terdapat beberapa perkara yang menyebabkan masyarakat Jawa mengalami proses asimilasi. Antaranya adalah dari segi wajah yang seiras, bahasa yang hampir sama, agama yang sama, persamaan corak hidup, pakaian dan perkahwinan. Ini menyebabkan masyarakat Jawa telah diterima sepenuhnya sebagai bangsa Melayu di bawah satu rumpun.

No comments:

Post a Comment