Masyarakat Jawa Di Sabah


KEBUDAYAAN dan adat resam bangsa Jawa di Sabah khususnya di Sandakan hampir pupus di mata masyarakat umum, walaupun populasi Jawa di Sabah in memang ramai sehingga berjaya mewujudkan kampung-kampung jawa yang telah diikhtiraf oleh kerajaan di beberapa daerah.

Antaranya wujud kampung-kampung Jawa sejak di zaman British lagi sehingga di zaman pemerintahan USNO dan BERJAYA seperti di Tawau Kg Jawa Merotai Besar; Merotai Kecil; Kampung Jawa Kuhara; Kampung Jawa Sungai Burut dan Kampung Jawa Bumbalai, di sebelah pula Sandakan Kampung Jawa Sungai Batang; Kampung Jawa Gum-Gum, Kampung Jawa I dan Kg Jawa II di Jalan Sungai Manila; Kampung Jawa Tanjung Aru; Kg Jawa Lahad Datu, Kampung Jawa LangKon dan banyak lagi kampung-kampung jawa wujud di beberapa daerah di Sabah ini.

Ada resam jawa seperti kenduri gunakan ambeng, sajen dan kahwin ikut adat jawa di Sandakan mungkin masih diamalkan di dua buah kampung yang masih mengamalkan adat istiadat sebegini ini; tidak seperti di Johor, Perak dan Selangor kerana orang Jawa di sana masih kuat dan mengekalkan budaya dan adat resam mereka.

Ajirin Bin Kasirin semasa diwawancara oleh Sabahkini.Net di Lapangan Terbang semasa majlis sambutan Sandakan festival menjelaskan, cuma yang masih kekal 90 peratus ialah masakan Jawa seperti pecal, gadoh-gadoh, petes, rempeyek, tempe, bakso, sate, getuk, bergedel, lontong, sambel lodeh, semur daging atau semur jengkol.

Sementara dodol, kuih kelpon, kuih gembelong ini semuanya sudah lenyap bila kebanyakan orang tua Jawa yang di bawa masuk oleh British dan Jepun; lantas kurang mewarisi budaya ini.

“Kebudayaan Jawa seperti tarian jaipong, ketopra, kuda kepang (Jaran Kepang) dan ronggeng ini hampir pupus kerana tiada generasi mahupun keturunan Jawa yang ada mempertahankan kebudayaan ini,” ujar Ajirin.

Kata Arifin, beliau adalah generasi Jawa yang keempat dan bermula daripada moyangnya, terus kepada arwah Kakek Kardi, bapanya Kasirin dan sebelum kakek saya meninggal, dia berpesan agar adat resam dan budaya Jawa jangan sekali-kali dilenyapkan. Budaya ini harus diwarisi turun menurun dan diketengahkan agar adat resam tidak mati ditelan zaman.

“Pada mulanya memang sukar untuk memanggil keturunan Jawa yang ada di beberapa kampung Jawa di sini, tetapi syukur Al-hamdulliah dengan berkat bantuan kawan-kawan yang bersemangat mahu memperjuangkan adat resam dan kebudayaan Jawa di persada masyarakat umum, akhirnya kita berjaya mengumpul remaja-remaja Jawa di Kampung Sungai Batang.

Setelah berjaya membentuk Persatuan Jawa Kg Sungei Batang, Batu 10, Jalan Labuk Sandakan pada tahun 2009 kami dapat sedikit bantuan untuk menumbuhkan tarian Jawa dan Kuda Kepang” jelasnya.

“Dalam jangka masa setahun, persatuan tarian kamu sering mendapat jemputan dari luar daerah ini seperti dari Kudat, Kota Kinabalu, Tawau dan Keningau untuk mempersembahan tarian-tarian Jawa di majlis-majlis rasmi kerajaan dan NGO,” jelasnya

Kata Ajirin lagi, di Sandakan, memang wujud Persatuan Kebudayaan Jawa Sandakan yang diketuai oleh Hj Marzuki Hayat tetapi masih di peringkat proses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) .

Sebagai Pengerusi Persatuan Jawa Kg Sungei Batang, Ajirin berharap ramai di kalangan keturunan Jawa di negeri ini yang mempunyai kedudukan tinggi di kerajaan negeri dan persekutuan; agar sama-sama tampil untuk menaikkan martabat bangsa Jawa dalam pelbagai aspek terutama, sekali mewujudkan Persatuan Jawa Sabah, agar setaraf dengan bangsa-bangsa Jawa di Semenanjung yang begitu popular dalam adat resam dan kebudayaan yang masih dikekalkan sehingga ke hari ini.

( Sumber : http://sabahkini.net )

3 comments:

  1. Assalamualaikum tuan tanah, saya berminat untuk bertemu dengan wakil persatuan jawa kg sg batang batu 10, sandakan.
    Saya sedang melakukan research berkaitan etnik Jawa di Sabah dan Sandakan khususnya.
    Jika ada no telefon untuk dihubungi? Terima Kasih banyak tuan.

    ReplyDelete
  2. Boleh saya tauh asal usul sabah d sabah , sbb sta sdg membuat kajian kaum jawa di sabah

    ReplyDelete
  3. Salam,

    saya mencari induk saya dol yang berkahwin dengan micang@aminah pada tahun 1890++.. micang ini org jepun masuk islam... tq

    ReplyDelete