22 September 2025

Raja Laut

 

(1850) YTM Raja Laut ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah diputerakan pada tahun 1850. Baginda mangkat pada tahun 1913 semasa menjadi Raja Muda Selangor. Raja Muda Laut telah dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada tahun 1898 oleh Paduka Sri Sultan Selangor ke-5 iaitu Sultan Ala’uddin Suleiman Shah. Apabila Sultan Selangor mengurniakan gelaran Tunku Mahkota kepada putera baginda, Tengku Musa Uddin sebagai pewaris takhta, Raja Muda Laut tetap mengekalkan gelaran Raja Muda sehingga kemangkatan baginda pada 9 Jun 1913. 

Raja Muda Laut telah bersurikan Raja Daing Chahaya dan dikurniakan seorang putera, iaitu Raja Alang. Keluarga Diraja ini tinggal di sebuah rumah di kawasan “Batu Road” pada ketika itu. Baginda dikebumikan di tanah perkuburan Kampong Gonggang iaitu nama asal Jalan Ampang. Nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebuah jalan yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur.

21 September 2025

KERIS dari Negeri Sembilan ke England

Keris penyalang atau salang berukuran 10.2 x 69.5 cm ini dihadiahkan Tunku Besar Tampin iaitu YTM Paduka Sri Sultan al-Sharif Sha’aban Muhammad Shah Zillu’llah fi al-‘Alam ibni al-Marhum Ibrahim al-Qadri (17xx-1872), kepada Prince Alfred, Duke of Edinburgh (1844-1900).

Lebih dikenali sebagai Syed Sha'aban, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Muda Rembau oleh bapa mertuanya, Yamtuan Besar Raja Ali, pada tahun 1832. Syed Sha'aban melarikan diri ke Tampin pada 1833 dan menetap di Melaka dari 1837 hingga 1842. Baginda kemudian dilantik sebagai Tunku Besar Tampin selepas kemangkatan Raja Ali pada tahun 1856.

Menurut arkib British dan berdasarkan catatan yang diukir diatas sampir, keris penyalang atau salang ini dihadiahkan oleh Syed Sha'aban kepada Prince Alfred iaitu anakanda kedua  Queen Victoria pada 9.12.1869. Ketika itu Prince Alfred, yang bertugas sebagai Kapten kapal HMS Galatea, membuat lawatan rasmi ke Melaka, yang merupakan salah satu destinasi siri kedua jelajah dunia baginda dari 1869 hingga 1871.

Keris ini adalah antara hadiah yang paling dihargai oleh Prince Alfred yang mengetahui kegunaannya iaitu sebagai senjata hukum bunuh, dan juga tentang fakta sejarah bahawa 38 tahun sebelum itu Syed Sha'aban bersama Raja Ali dan Dato' Dol Said pernah mengalahkan tentera British dalam Perang Naning pertama (1831). Melalui diplomasi dan taktik pecah perintah, British telah mengiktiraf Rembau sebagai sebuah negeri berdaulat dan mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran kerajaannya. Sebagai balasan, Syed Sha'aban bersetuju menjadi sekutu British dalam menentang Dato' Dol Said semasa Perang Naning kedua (1832).

Sejurus kembali ke England, Prince Alfred meminjamkan keris ini untuk dipamirkan di Muzium South Kensington (kini Muzium Victoria & Albert). Kemudian ianya disimpan di kediaman baginda di Clarence House, London. Ianya kini disimpan di Grand Vestibule, Windsor Castle.

Kredit:- warisan kemelayuan / BANGSA NUSANTARA JAYA (Sejarah, Peristiwa, Kegemilangan, Senibina & Budaya)










Pendekar Bujang Lapok

 

PENDEKAR Bujan Lapok lakonan P.Ramlee, Aziz Satar dan Sudin mengisahkan tiga orang anak muda yang berkelana mencari guru silat. Perjalanan mereka mula memuncak ketika berada di jeti penambang perahu yang dikuasai oleh gengster-gengster yang diupah untuk menjalankan operasi sewa perahu di jeti tersebut. 

Mereka bertiga berehat sambil bermain alat muzik menunggu giliran untuk menaiki perahu ke seberang. Semasa mereka sedang berehat mereka tertarik dengan satu insiden yang mereka tidak sangka. Mereka melihat satu insiden kekecohan dimana seorang lelaki tua telah di kerumuni oleh gengster tersebut semasa ingin meniki perahu. Keadaan mula bertambah kecoh apabila mereka melihat beberapa gengster tersebut membawa lelaki tua tersebut ke belakang bangunan jeti, seperti mahu dipukul.

Mereka bertiga tanpa berlengah bergegas mengikut kumpulan yang membawa lelaki tua tersebut ke belakang bangunan. Mereka mengintai dari celahan dinding melihat aksi yang mendebarkan itu. Alangkah terkejutnya mereka apabila mereka menyaksikan sendiri aksi lelaki tua berkenaan seorang diri menewaskan kumpulan gengster tersebut dengan hanya beberapa singkat.

Kemudian mereka melihat lelaki tersebut ke arah jeti dan memberi satu tendangan kepada seorang gengster yang menjaga perahu, lelaki tersebut melompat ke dalam perahu dan terus hilang bersama sampan disusur arus sungai.

Selepas mereka meyaksikan peristiwa itu mereka sepakat untuk mencari lelaki tua tersebut. Selepas itu, merekapun tiba di seberang dan tiba di kampung Pinang Sebatang. Oleh kerana mereka tidak tahu kawasan kampung tersebut, mereka mahu bertanya kepada penduduk setempat.

Mereka terserempak dengan seorang gadis dan mahu bertanya, oleh kerana mereka adalah orang luar dan tidak dikenali membuatkan gadis itu berasa takut dan terus lari meninggalkan mereka. Kejadian itu disedari oleh bapa gadis berkenaan dan terus menghalang mereka bertiga.

Setelah melihat bapa gadis berkenaan maka legalah hati mereka kerana akhirnya mereka berjumpa dengan lelaki tua yang beraksi di jeti petang tadi. Pada asalnya lelaki tua tersebut menyangka mereka adalah orang yang diupah oleh gengster berkenaan untuk mengekorinya hingga ke rumah. Akan tetapi seterlah mereka jelaskan niat mereka dan menceritakan semula perjalanan mereka akhirnya lelaki tua itu mempercayai mereka dan menerima hajat yang mereka hajati.

Lelaki itu perkenalkan diri sebagai Pak Mustar dan mempelawa mereka untuk tinggal dirumah sepanjang perguruan. 

Akhirnya genap satu purnama mereka berguru dengan Pak Mustar, oleh kerana tempoh perguruan telah tamat mereka juga perlu pulang ke kampung halaman masing-masing. Hari itu adalah malam terakhir perguruan mereka bersama Pak Mustar. 

Pak Mustar meminta mereka untuk pergi ke dalam hutan untuk mencari sekuntum bunga mawar merah yang kembang pada waktu malam yang diramalkan akan muncul pada malam itu. Mereka menurut apa yang diperintahkan oleh Pak Mustar, selepas selesai solat maghrib mereka memulakan perjalanan ke hutan yang dimaksudkan.

Setelah mengharungi hutan belantara tersebut akhirnya mereka tiba disatu tempat yang sangat sejuk dan gelap. Dibawah sinaran bulan purnama mereka melihat pokok bunga bawar yang kembang indah. Oleh kerana Ramli adalah ketua antara mereka bertiga maka Ramlilah yang perlu memetik bunga tersebut.

Selepas Ramli memetik bunga itu tiba-tiba cahaya berwarna merah menerangi kawasan tersebut lantas kuntum mawar yang digemgam Ramli bertukat menjadi sebiji batu delima merah yang bersinar. Mereka bertiga terkejut melihat peristiwa itu.

Zasssss!. Tiba-tiba sebilah badik dihunus kepada Ramli, akan tetapi Ramli berjaya elak hunusan tersebut. Mereka dikepung oleh sekumpulan lelaki, dan mereka syaki kumpulan itu adalah kumpulan gengster dari jeti penambang.

Mereka bertiga bertempur dengan kumpulan tersebut didalam hutan itu, tempat yang asalnya sunyi kini bertukar menjadi terang dengan nyalaan obor api dan bunyi geseran pedang. Ramli menyimpan erat batu delima mawar yang diperolehinya, mereka yakin kumpulan tersebut mahukan batu tersebut.

Selepas pertempuran berlangsung akhirnya mereka bertiga berjaya keluar dari kepungan tersebut dan menewaskan beberapa orang. Mereka kembali ke rumah Pak Mustar dan mereka dapati rumah Pak Mustaz telah dibakar.

Mereka terjumpa seorang penduduk kampung yang terlantar cedera, kemudian memberitahu kediaman Pak Mustar telah diserang oleh kumpulan genster yang menculik anak gadisnya. Mendengar keadaan semakin genting, mereka bertiga bertekad untuk melaksanakan misi menyelamat anak gadis Pak Mustaz.

Dari kegelapan subuh mereka melihat seseorang berlari ke arah mereka, alangkah terkejutnya mereka melihat Pak Mustar dalam keadaan berlumuran darah. Mereka sambut Pak Mustar yang cedera dan merawatnya. Pak mustar berjaya melarikan diri daripada kumpulan itu akan tetapi isteri dan anak gadis Pak Mustar telah ditangkap dijadikan tawanan.

Ramli menceritakan kepada Pak Mustar mereka turut diserang semasa didalam hutan dan Ramli menyerahkan batu delima merah itu kepada Pak Mustar. Seakan kesaktian muncul batu delima tersebut seolah-olah merawat Pak Mustar. Tidak lama selepas itu Pak Mustar kembali berdiri dan kelihatan luka juga sudah kering.

Mereka bersembunyi disebuah pondok yang tidak jauh dari kediaman Pak Mustar yang hangus terbakar. Kemudian Pak Mustar mengeluarkan sebuah kotak simpanan yang berhabuk. Setelah dibuka, didalamnya terdapat senjata seperti keris, badik, lembing, buluh dan beberapa lagi.

Terkejut melihat semua senjata yang dilihat mempunyai ukiran yang sangat indah tidak pernah dilihat. Kemudian senjata tersebut dibahagikan dan diwasiatkan kepada mereka bertiga oleh kerana Pak Mustar telah tua. Mereka berjanji akan membawa pulang isteri dan anak Pak Mustar.

Matahari mula berlabuh dan bulan mula terbit, selepas selesai solat maghrib, mereka panjatkan doa kehadrat ilahi akan misi penyelamat yang akan dilakukan malam itu juga. Mereka meminta restu Pak Mustar untuk bergerak, mereka terus bergerak didalam kepekatan malam tanpa jejak.

Rupanya kubu kumpulan gengster itu bukanlah mudah, setiap lapisan mempunyai penjaga. Mereka menyelinap masuk kedalam untuk mencari anak dan isteri Pak Mustar. Sampai di tempat kurungan mereka terus menjatuhkan musuh yang berkawal disitu dan membawa keluar anak dan isteri Pak Mustar.

Akhirnya mereka berjaya keluar dari kubu gengster tersebut dan terus melarikan diri membawa anak dan isteri Pak Mustar. Mereka turut dikejar dan diserang, akan tetapi mereka berjaya melawan dan tewaskan gengster tersebut.

Tamat.

19 September 2025

Tentang Solat

 


SOLAT adalah satu kewajipan yang dilakukan oleh umat islam, ia adalah perintah daripada Allah SWT dan syariat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Diwajibkan keatas umat islam solat 5 waktu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak dan sangat digalakkan melakukan solat-solat sunat yang lain. Syariat solat dikembangkan dan diperhalusi dari zaman ke zaman mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Orang yang terlantar sakit juga diberikan panduan untuk bersolat.

Kenapa orang islam diwajibkan solat? ini adalah kerana ia datang daripada perintah Allah SWT yang jelas di dalam Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad. Solat adalah hak Allah SWT, jadi lakukan ia tanpa apa-apa kemusykilan dan keraguan kecuali uzur atau yang dibenarkan.

Solat boleh dilakukan dimana-mana tempat yang diyakini bersih dan suci daripada najis. Kiblat menjadi arah tujuan sudah boleh melakukan solat walaupun diluar masjid. Akan tetapi jika terdapat surau atau masjid berdekatan lebih afdal solat disitu. 

Kusyuk atau tidak dalam solat adalah satu perkara yang tidak perlu anda musykil atau ragu, kerana anda berdiri saja atas sejadah adalah tanda Allah pilih anda untuk bersolat, jadi nikmati solat anda pada waktu itu.

Siapakah orang yang tidak diwajibkan solat?. Mereka ialah orang gila, kanak-kanak belum baligh, wanita yang sedang uzur. 

Selepas selesai memberi salam, duduklah sebentar memohon doa kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Kaya dan janganlah jadi orang yang sombong dengan tidak memohon doa kepada Allah. Dan mintalah doa yang baik-baik.

Jika penulisan saya ini ada kesalahannya, boleh tegur diruang komen.

18 September 2025

Kenyataan Sultan Selangor Berkenaan Kg Sungai Baru Kuala Lumpur

D.Y.M.M. SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH AL-HAJ


KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR

Beta ingin memberi pandangan berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Selepas membaca maklumbalas daripada pelbagai pihak, Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira.
Kampong Bharu telah ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda Beta, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).

Beta ingin mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampong Bharu dan harus dipelihara. Ini kerana Beta sendiri pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu, ketika ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor. Allahyarham ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampong Bharu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar.

Sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampong Bharu menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada tahun 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang-orang Melayu. Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka. Kini, Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hakmilik Kerajaan Negeri Selangor.

Bukan itu sahaja, sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kediaman rasmi  Dato’ Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampong Bharu.

Lebih nostalgik, persefahaman pernah dicapai supaya Masjid Jamek Kampong Bharu yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.

Sesungguhnya, Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900.
Justeru, Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampong Bharu memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur. Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang.

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”
“BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”

D.Y.M.M. SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH AL-HAJ
SULTAN SELANGOR
Tarikh :   18 September 2025