SETIAP individu membesar dan terbentuk hasil interaksi dalam persekitaran masing-masing. Budaya merupakan pengaruh yang paling berkesan ke atas perkembangan individu. Ini kerana budaya mempengaruhi cara berfikir, bertindak dan mempengaruhi pandangan serta perasaan seseorang. Kerap kali terdapat perbezaan antara murid, faktor ini mendesak guru menggunakan kemahiran secara optimum dalam pengurusan bilik darjah, adalah penting kepada guru untuk memahami tingkahlaku dan budaya murid .
Penggunaan bahasa yang standard harus diamalkan oleh murid. Elakkan penggunaan dialek mengikut kaum, murid harus diingatkan agar sentiasa berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang betul. Murid harus diingatkan agar menghormati rakan lain yang tidak faham penggunaan bahasa mereka. Murid yang terdiri dari pelbagai bangsa harus bersosial dalam kelompok yang berbeza terutamanya ketika melakukan aktiviti. Mereka harus berinteraksi tanpa mengira kelas sosial dan latar budaya masing-masing. Sikap prejudis terhadap bangsa lain harus dielakkan supaya segala aktiviti yang dirancang oleh guru dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kepercayaan yang diamalkan oleh murid lain tidak harus dipertikaikan sesama mereka. Aktiviti yang dijalankan juga haruslah berupaya menyemai semangat saling mempercayai ke dalam jiwa murid. Proses sosialisasi antara etnik dibuat tanpa mengira anutan agama dan hendaklah dikembangkan agar proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Secara langsung semangat perpaduan dapat dijalin dalam masyarakat.
Kemahiran komunikasi memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang. Apabila seorang guru menggunakan kemahiran berkomunikasi terhadap muridnya, maka suasana pembelajaran yang lebih dinamik dapat dihasilkan. Dengan cara ini, pembentukan akhlak dan penerapan kemahiran tertentu dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan.
Murid mudah terpengaruh kepada tindakan guru yang menunjukkan teladan sebagai seorang professional. Oleh itu guru mesti membentuk program yang bertujuan membangunkan murid, dengan peraturan dan arahan yang jelas. Ini bertujuan untuk mengurangkan sgala tingkahlaku negatif.
No comments:
Post a Comment