Apa Itu Kemplingan

TABUH…Anggota kumpulan kempling menabuh peralatan untuk menghasilkan kombinasi irama yang menarik dan indah.
Kumpulan Kemplingan Bukit Gambir, Ledang.

KEMPELINGAN satu lagi kesenian yang diwarisi dari masyarakat Jawa oleh rakyat negeri Johor. Ia adalah sejenis permainan genderang mengiringi bacaan rawi yang diambil dari berzanji sama ada bacaannya dalam bahasa Arab (seperti dalam berzanji), bahasa Melayu (terjemahan) atau bahasa Jawa.

Pada asasnya, peralatan Kemplingan terdiri daripada tiga jenis alat iaitu sebuah gendang, sebuah jidur dan empat buah kempeling yang bernada berlainan. Ada yang menamakannya sebagai kempeling, tempong, kempol dan piong. Namun pada masa ini, peralatan berkenaan sudah bertambah dengan sepasang markas dan sebuah tambrin hingga menjadikan permainan Kempelingan lebih rancak dan menarik.

Rangka alat Kempelingan ini diperbuat daripada pungka (pangkal) batang kelapa, batang cempedak, leban atau durian mengikut kesesuaiannya. Kawasan yang terdapat kumpulan Kempelingan ini kebanyakannya di daerah Batu Pahat dan Muar. Pemainnya terdiri daripada 10 hingga 20 orang dan ada juga kumpulan pemainnya mempunyai 23 orang.

Selain daripada memain alat Kempelingan sebahagiannya adalah pembaca rawi atau nazam berzanji. Masing-masing boleh bergilir ganti serta permainan itu sering diadakan untuk memeriahkan majlis keagamaan seperti di majlis kesyukuran, perkahwinan, potong jambul dan berkhatan. Ia juga berperanan seperti kompang untuk mengiringi perarakan pengantin.

Di Ledang, antara kampung yang masih mempertahankan kesenian ini ialah Kampung Parit Kassan dan Parit Haji Idris di Bukit Gambir, Kampung Melayu Raya, Sagil Parit Satu dan Sagil Parit Dua di Tangkak. Di samping bertujuan sebagai hiburan, kemplingan juga berfungsi menghimpunkan masyarakat kampung bagi memudahkan pertemuan dan mengadakan perbincangan.

Kempling biasanya dipersembahkan dalam majlis tertentu seperti berkhatan, cukur rambut bayi, perkahwinan dan majlis keramaian. Ia dipersembahkan oleh satu kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 10 - 15 orang ahli di mana enam orang daripada mereka memainkan peralatan kempling.

Peralatan kempling terdiri daripada gendang, kempling, jidur, karon dan dua buah kempol yang kesemuanya diperbuat daripada kayu. Kombinasi keenam-enam alat muzik ini dapat melahirkan irama yang indah dan mengasyikkan dan jika ia dimainkan pada waktu malam, iramanya boleh didengar sehingga ke beberapa buah kampung.

Nazam yang dinyanyikan dalam permainan kempling ini pula diambil dari kitab berzanji atau rawi yang kesemuanya berjumlah 16 bab. Namun begitu, nazam boleh diubahsuai kepada beberapa pantun Melayu atau yang dikarang sendiri sesuai dengan peredaran zaman tetapi rentak dan iramanya masih mengikut yang asli.

Dahulu, permainan kempling dipersembahkan pada waktu malam iaitu selepas isyak dan berlarutan hingga ke tengah malam membawa ke pagi bagi meraikan kanak-kanak yang hendak dikhatan. Kini, persembahan kempling hanya dilakukan sehingga tengah malam sahaja atau pada waktu siang bergantung kepada permintaan tuan rumah.

( Sumber : http://kemplingan.blogspot.com )

No comments:

Post a Comment