Orang Jawa Beraya




Orang Jawa beraya SATU BULAN SYAWAL PENUH. Bukan kerana mereka ini kaki raya sangat pun tetapi budaya sebegitu telahpun ada sejak turun temurun lagi. Tertib beraya pada Minggu-minggu Syawal amalan Orang Jawa yang anda perlu tahu.

Pertama : Anak dan cucu pulang melawat Orang tua mereka.

Kedua : Orang tua yang dilawati cucu dan anak akan ke rumah ibu bapa mereka pula

Ketiga : Pangkat-pangkat atuk akan mula menziarah moyang-moyang pangkat ibu bapa mereka atau ibu bapa saudara mereka.

Keempat : Atuk nenek & moyang mula menziarah sesame beradik dan sepupu yang masih hidup.

Kaedah beraya cara ini kami rasakan sangat santai dan meresap di jiwa. Tidak sangat menyantap makanan sewaktu beraya, kadang kala hanya secawan teh `O’ sahaja dan bersembang sejam dengan air kosong itu. Tidak kalut dan hiruk pikuk seperti budaya yang berlaku di bandar-bandar kini. Memang sajian di rumah terbuka agak istimewa, tapi mustahil kita dapat merungkai silatulrahim secara peribadi dan mendalam jika dalam beberapa jam tuan rumah terpaksa melayan ribuan yang hadir.

Baraan raya atau dalam bahasa Melayunya ialah ziarah raya dari rumah ke rumah saudara mara, jiran tetangga SECARA BERKUMPULAN itu seakan diambil alih dengan kehebatan program-program khas raya di televisyen, ipad, smartphone, game, PSP atau setidak-tidaknya hanya suka tidur sahaja di hari raya. Di Kampung Jawa, usai sahaja solat Raya, masing-masing akan kembali ke rumah masing-masing untuk anak dan isteri bersalaman dan bermaaf-maafan. Biasanya selepas itu terus mereka berkumpul semula dengan kumpulan motosikal dan kereta untuk menziarah satu persatu rumah ahli qariah Masjid. Mereka berselawat dan bertakbir di setiap rumah. Bukan untuk makan sangat pun, tetapi itulah kemeriahan RAYA JAWA. Ya, Kampung Jawa disatukan qariahnya dengan aktiviti Masjid. Dari ziarah menziarahi itu pula mereka mengenali lebih dalam siapakah ahli keluarga rakan-rakan mereka yang lain.

Di perkampungan Jawa, Jika seorang kanak-kanak melintas di hadapan rumah pun mereka kenal siapa ibu bapa mereka. Ditegurnya budak itu dan jika mencurigakan terus ditelefon sahaja orang tua mereka. Dengan baraan itu mereka kenal mengenal, dengan masjid itu mereka bersahabat dan keseluruhan keluarga mereka dengan keluarga yang lain saling jaga menjaga.

( Sumber : http://prihatin.net.my )

No comments:

Post a Comment