PERSEMBAHAN KEMPLING OLEH PERKUMPULAN KEMPLING PARIT KASSAN, BUKIT GAMBIR, LEDANG DI RUMAH WAK SALAM DI KAMPUNG PARIT HAJI IDRIS PADA 8 MEI 2009.
Permainan kempling ini mempunyai unsur-unsur keagamaan yang memuji-muji kebesaran Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW. Nazam atau lirik bagi permainan kempling ini berpandukan kepada berzanji atau rawi.
Terdapat enam jenis alat permainan kempling yang mempunyai bunyi dan fungsi yang berlainan. Alat-alat itu ialah jidur, gendang, karon, kempling dan dua buah kempol. Kesemua alat-alat ini diperbuat dari kulit kambing manakala baluhnya daripada kayu.
Kombinasi keenam-enam alatan kempling ini melahirkan satu bunyian yang indah dan menarik. Ada ketikanya, ia dapat didengar sehingga beberapa kilometer terutama pada waktu malam.
Bagi memulakan permainan kempling ini, bacaan surah al-Fatihah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dibaca terlebih dahulu. Kemudian barulah dimulakan berpandukan bab-bab yang terdapat di dalam berzanji.
Sebenarnya permainan kempling tiada had masa yang tertentu tetapi ia memerlukan masa yang agak panjang bergantung kepada berapa lagu dan bab di dalam berzanji.
No comments:
Post a Comment